PROFIL

 

MENGENAI KOPERASI PERBADANAN PUTRAJAYA BERHAD

Koperasi Perbadanan Putrajaya Berhad atau singkatannya PutraKop telah di tubuhkan pada 12 Disember 2013. Keanggotaan koperasi ini terdiri daripada pekerja-pekerja berkanun di Perbadanan Putrajaya.

Penubuhan PutraKop adalah sebagai satu platform yang akan memberikan ruang dan peluang kepada pegawai dan kakitangan Perbadanan Putrajaya untuk memikirkan, menjalankan dan berkongsi keuntungan hasil daripada aktiviti komersil untuk manfaat dan faedah secara bersama.

Idea penubuhan PutraKop telah lama disuarakan oleh pegawai dan pekhidmat Perbadanan Putrajaya dalam forum/mesyuarat seperti Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dan Kelab  Sukan, Rekreasi dan Kebajikan Perbadanan Putrajaya (KRISputra). Keperluan bagi penubuhan koperasi di Perbadanan Putrajaya juga turut telah disarankan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Presiden. Selaras dengan sokongan padu ini maka kata sepakat telah dipersetujui bersama bagi penubuhan PutraKop ini.

Antara cadangan awal aktiviti / bidang komersil yang berpotensi untuk diceburi dan diterokai oleh Koperasi Perbadanan Putrajaya adalah dalam sektor: pembangunan stesen minyak, lot-lot komersil, peruncitan, hartanah dan khidmat pembiayaan kepada anggota-anggotanya.

PutraKop  berharap agar dapat meluaskan lagi aktiviti perniagaan yang diceburi di samping dapat memberikan faedah dan perkhidmatan yang terbaik untuk anggota dan seterusnya dapat menyumbangkan peningkatan KDNK negara. Harapan 5 tahun akan datang PutraKop menjadi koperasi yang mampu berdaya saing secara progresif dan amanah supaya koperasi menjadi yang cemerlang dari pelbagai aspek.